
Aku tak nak ambil tau tentang apa yang dibuat dengan setiap saat yang ada dalam satu minggu. Aku cuma tak suka dia abaikan kawan aku. Satu semester berjumpa cuma sekali dua. Semester lepas lagi teruk, lansung tak bersua muka. Padahal kedua-duanya belajar satu universiti, duduk pula dalam asrama dalam kampus. Berapa besar sangatlah kampus ni. Hidupkan motor, gerakkan kaki, dah boleh jumpa seminit dua. Kawan aku ni baik sangat orangnya. Penyabar. Lansung tak merungut. Kalau aku yang kena, mahu seminggu dua aku tak layan si sportandclubactivityholic tu. Sampai 2 semester kawan aku diabaikan sebegitu. Bila kawan aku dah tak sanggup nak teruskan hari-hari sebagai mak we hallimunan, dia datang mengadu dengan aku, Kalau diikutkan hati, aku syorkan saja dia putus hubungan dengan mamat tu. Ada ramai lagi pemuda di luar sana yang boleh layan kawan aku ni lebih baik dari dia. Tapi disebabkan aku tak nak dicap sebagai batu api dan perosak hubungan, aku nasihatkan kawan aku supaya cuba berbincang dengan teman lelakinya. Manalah tau, boleh caari jalan terbaik yang boleh memuaskan kedua-dua pihak. Kawan aku tak mengangguk, tak pula menggeleng mendengar nasihat aku. Aku pun tak tau apa yang tengah bermain-main dalam kotak fikirannya tu.
Semuanya terjawab 2 minggu selepas 'sesi kaunseling bukan profesional' antara aku dan dia. Aku dikejutkan dengan kenyataan kawan aku iaitu dia dan si sportandclubactivity tu dah tak bersama lagi. Kawan aku yang memberi kata putus. Pada pandangan aku, itu satu langkah yang paling baik, tapi, takkan aku nak tunjuk muka gembira pulakan? Kalau menunjuk muka sedih pun tak boleh. Nanti semakin sedih pula kawan aku tu. Jadi, aku cuma mengangguk kepala tanda aku terima keputusan dia. Tak sampai sebulan lepas tu, aku dikejutkan pula dengan berita mereka dah rujuk semula. Aku tak menghalang sangat kalau mereka memang nekad nak bersatu balik, tapi aku risau pisang akan berbuah dua kali.
Masa saat-saat mengorat dulu, bukan main lapang lagi si sportandclubactivityholic tu. Samalah keadaan dengan ketika dia memujuk kawan aku untuk rujuk kembali. Masa tu mereka tengah bercuti, jadi memang lapang sangatlah mamat tu. Aku takut nanti bila semester baru bermula, dia akan kembali menjadi sportandclubactivityholic. Kerisauan aku terbukti betul apabila kawan aku hilang sabar Isnin lepas. Semuanya gara-gara mamat taksub sukan tu membiarkan kawan aku menunggu 3 jam, dengan perut kelaparan, kata pengesahan untuk makan tengah hari bersama. Mamat tu lansung tak berusaha untuk beritau kawan aku yang janji mereka dibatalkan. Apabila kawan aku dengan hati panas meluahkan semua kekecewaan yang terbuku dalam hati selama ni dengan satu panggilan telefon, terkulat-kulat si sportandclubactivity di hujung talian. Itulah, jangan dicabar kesabaran orang yang pemendam. Bila batas kesabaran dilampaui, kepercayaan boleh tergugat atau hilang sepenuhnya.
Sekarang ni, mereka dah berbaik semula. Kawan aku pula nampak sedikit berubah. Selama ni dia menjadi mak turut si sportandclubactivity tu. Semua alasan yang diberi diterima tanpa was-was. Tapi tidak lagi sekarang. Dia boleh maafkan apa yang baru berlaku, tapi ingatan itu takkan mudah hilang. Jika kesabaran diuji sekali lagi, aku rasa kawan aku mesti minta cerai talak tiga. Kalau si sportandclubactivity tu tak belajar apa-apa dari apa yang dah berlaku ni, aku rasa dia memang tak sesuai memiliki pasangan selagi dalam otak dia cuma ada sukan dan aktiviti kelab. Biarkan saja dia hidup dengan sukan-sukan dan aktivit-aktiviti kelabnya tu.