
Setiap pemilik blog mempunyai alasan tersendiri untuk memiliki sebuah blog. Ada yang melakukannya kerana minat menulis dan blog adalah cara terbaru untuk mereka memperkembangkan bakat penulisan mereka. Ada pula yang beria-ia untuk memiliki blog kerana tak nak ketinggalan dalam trend paling terkini dan hangat iaitu blogging. Manakala sebilangannya pula menjadikan blog sebagai kaunselor tak bertauliah atau teman baik untuk mereka luahkan perasaan dan rahsia terpendam yang tak boleh diutarakan di dunia nyata. Mereka takut dipandang serong atau dibenci masyarakat jika kesemua rahsia dan perasaan yang terkubur selama ni diketahui oleh orang-orang yang mengenali mereka. Alasan ni pernah menjadi pendorong untuk aku melibatkan diri dalam dunia blogging. Tapi itu dulu. Sekarang aku didorong oleh sebab lain. Kali ini, motif utama aku adalah untuk mendapatkan sebuah lagu dari seorang blogger. Yup, sebuah lagu. Lagu tu bertajuk Shine yang dinyanyikan oleh Shannon Noll, seorang penyanyi Australia.
Pertama kali aku terdengar lagu ni dari sebuah iklan tv, aku tau aku mesti dapatkan lagu ni. Artis Australia tak memiliki pendedahan yang luas sepertimana artis Amerika atau Eropah di Malaysia, jadi untuk mendapatkan c.d atau kaset Shannon Noll dari kedai muzik tempatan adalah satu kerja mustahil. Alternatif lain adalah dengan membeli c.d atau kaset tu secara online. Erm... mungkin tidak. Secara jujur, aku tak kisah pun kalau tak dapat c.d atau kaset penyanyi tu. Yang penting bagi aku cuma lagu tu saja. Aku boleh dapatkan fail mp3 lagu tu online dan burn ke c.d. Aku tau cara ni salah di sisi undang-undang, tapi bagi orang yang tak berduit banyak macam aku ni, itulah satu-satunya cara untuk aku mendapatkan lagu yang aku suka. Jadi, aku pun bertempeklah depan komputer, mencari fail lagu tu. Dari sejam berlanjut ke berjam-jam. Dari berjam-jam berlanjutan pula ke hari. Pencarian ni semakin hari semakin mustahil aku rasa. Aku kecewa dan hampir putus asa, sehinggalah secara tak sengaja aku terjumpa satu blog dengan entri yang mengkhabarkan semua pembaca tentang fail-fail mp3 yang dia miliki buat masa ni. Katanya, dia boleh hantarkan fail-fail tu kepada sesiapa yang berminat. Jadi, aku cuba mengisi komen dalam blog tu, dengan harapan dia dan aku akan dapat mencapai satu corak perhubungan yang lebih mudah dari memberi komen. Ingatkan semua halangan dah tak ada, rupanya-rupanya ada lagi. Pemilik blog tu dah setkan supaya hanya ahli Blogger yang boleh memberi komen. ARGHHH!!!
Tapi aku tak akan berputus asa sebegitu mudah. Dialah satu-satunya sumber yang membolehkan aku memiliki lagu tu. Dia nak ahli Blogger saja kan? Jadi, aku pun daftarkan diri sebagai ahli Blogger dan inilah hasilnya. Aku belum lagi membuat sebarang perhubungan dengan pemilik blog tu, tapi aku akan lakukannya nanti. Aku berharap sangat dia dapat tolong aku. Aku juga berharap blog ni akan bertahan lebih lama dari yang terdahulu. Penatlah asyik mula dari bawah.