
Harga sewa yang murah menjadi daya penarik utama untuk aku membaca novel ni. RM6 saja dan mungkin akan berkurang selepas aku pulangkan nanti. Di samping tu, plot, jalan cerita dan watak-watak utama yang memiliki personaliti yang kuat, turut menarik minat aku untuk cuba membaca. Aku sukakan watak heroin yang bijak, berpendirian teguh, tidak mudah tunduk dengan rupa paras lelaki (kalau ya pun, dia tak tunjuk sangat) dan sekali dua mampu membuatkan pembaca tersenyum dengan gelagatnya. Ciri-ciri sebeginilah yang dimilik oleh watak utama cerita ni.
Kebolehan hero novel ni untuk hidup beribu-ribu tahun (dia adalah seorang pari-pari ~ selama ni aku ingat pari-pari lebih sesuai untuk perempuan saja), berupaya untuk menghaibkan diri, merentas masa dan berpindah tempat sama ada dalam jarak dekat atau jauh (tak payah naik kapal terbang lagi dah - kuasa dia macam kuasa Goku pula) membuatkan aku terfikir alangkah baik sekiranya aku memiliki kuasa hebat sebegini. [mengeluh]
Jalan ceritanya bolehlah tahan. Ia mengisahkan mengenai Adam Black, pari-pari yang disumpah menjadi manusia biasa yang tak mampu dillihat dengan mata kasar manusia, kerana terlalu melibatkan diri dengan dunia manusia. Dia terlalu ingin kembali ke bentuk asal, jadi dia perlu kembali ke dunia pari-pari dan menghadap Aoibheal, ratu pari-pari supaya sumpahan yang dijatuhkan ke atasnya ditarik balik. Memandangkan dia tak dapat kembali ke dunia pari-pari tanpa kuasa asalnya, Adam amat memerlukan bantuan Gabrielle O'Callaghan yang mempunyai kuasa untuk melihat dunia pari-pari. Untuk mengetahu kesudahan kisah Adam, luangkanlah masa anda untuk membaca novel ni. Kalau anda nak menyewa buku The Immortal Highlander ni, bolehlah ke kedai buku sewa yang terletak di dalam bangunan utama Pasar Seni. Jika anda bernasib baik atau rajin mencari, anda akan mendapat harga sewa yang rendah. Selamat membaca! Lepas ni, aku nak baca novel Hot Pursuit pula.